Thursday, September 22, 2016

'DAP tiada pilihan selain hormati keputusan Azmin', Free Malaysia Today, 22 September 2016

 

 | September 22, 2016
Cadangan mengadakan pilihan raya sebelum SPR masih perlu perkenan Sultan dan DAP perlu akur dengan keputusan MB.
awangPETALING JAYA: Beberapa penganalisis politik tidak bersetuju cadangan DAP supaya Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dibubar lebih awal bagi menghalang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggunakan peta pilihan raya baharu.
Dr Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata DAP perlu menghormati keputusan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali yang tidak mahu pilihan raya kilat diadakan dan bertegas mandat rakyat perlu dihormati.
“DAP perlu sedar tanpa sokongan PKR, DAP tidak dapat bentuk kerajaan di Selangor. Sokongan PAS juga penting bagi mengukuhkan kerajaan Selangor malah kedudukan Pakatan Harapan tanpa penyertaan PAS akan beri kesan kepada PRU.
“DAP juga perlu hargai mandat rakyat dan tidak perlu berpolitik berlebihan,” katanya kepada FMT.
Azman berkata, walaupun trend sokongan pengundi mula kembali kepada Barisan Nasional (BN), ia masih belum mampu mempengaruhi majoriti pengundi menolak kerajaan campuran Selangor.
“BN juga alami krisis dalaman khususnya Umno. BN Selangor masih lagi dalam proses pemulihan dan pembaikan peringkat dalaman malah BN Selangor juga dilihat kurang bersedia. Saya yakin pembangkang masih menang di Selangor jika ada kesepakatan di antara PKR, PAS dan DAP,” katanya.
Dr Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia (USM) berpandangan pilihan raya awal bakal meretakkan hubungan PKR dan DAP.
“Jika Selangor bersetuju, ia juga memudahkan rancangan awal DAP untuk adakan PRN Pulau Pinang dan banyak isu negeri lain yang boleh menjadi faktor mengapa DAP Selangor mencadangkan PRN awal.
“Apa pun akhirnya, pihak istana mempunyai kata putus kewajaran PRN awal perlu dilakukan atau sebaliknya,” katanya.
Mesyuarat tergempar DAP Selangor semalam memutuskan pilihan raya mengejut ialah jalan terbaik mempertahankan kerajaan campuran PKR, DAP dan PAS di negeri itu.
Bagaimanapun Azmin bertegas menolak saranan itu kerana tidak mahu mengkhianati mandat yang diberi rakyat pada PRU13.

No comments:

Blog Archive