Friday, May 20, 2016

'PKR Dalam Dilema Hadapi PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar - Penganalisis Politik', Bernama, 18 Mei 2016



Fokus Berita Oleh Norhayati Mohd Akhir

KUALA LUMPUR,(Bernama) -- Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini dalam dilema antara Parti Amanah Negara (Amanah) sekutunya dalam Pakatan Harapan dan PAS yang merupakan sekutu kuatnya dalam kerajaan negeri Selangor menjelang pilihan raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar, menurut penganilisis politik.

Mereka berpendapat ibarat perbahasa Melayu diitelan mati emak diluah mati bapak, itulah dilema yang dihadapi PKR sekiranya Amanah turut bertanding kerusi Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar, Perak yang secara tradisinya ditandingi PAS.

PKR kini menganggotai pakatan pembangkang (yang dinamakan sebagai Pakatan Harapan) bersama DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah), tanpa parti PAS, sekutu kuat mereka dalam pembentukan kerajaan negeri Selangor.

Persoalannya, siapa PKR akan sokong? Adakah Amanah yang menjadi rakan mereka dalam Pakatan Harapan atau PAS, rakan mereka dalam kerajaan negeri Selangor?

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali baru-baru ini berkata pakatan pembangkang perlu bermuhasabah diri atas kekalahan teruk pada pilihan raya negeri (PRN) Sarawak pada 7 Mei lepas dan mengajak PAS kembali bersama DAP dan PKR sebagai satu pasukan.

Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR mengakui kekalahan teruk di Sarawak jelas menunjukkan rakyat negeri itu menolak pertelingkahan sesama parti.

Namun, ajakan itu jelas tidak disambut PAS. Selasa lepas, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan PAS tetap akan bertanding di kawasan Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar bulan depan sekalipun PKR turut menurunkan calonnya.

Abdul Hadi berkata Azmin juga tidak pernah menemuinya untuk berunding mengenai soal calon.

Pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Profesor Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata konflik itu dilihat menjadi 'bonus' kepada Barisan Nasional (BN) untuk mempertahankan dua kerusi Parlimen itu.

"Jika masing-masing (PAS dan Pakatan Harapan) masih bertegas mahu meletakkan calon untuk kerusi Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar, jelas PKR akan hadapi dilema dan BN perlu mengambil peluang ini," katanya kepada Bernama di sini.

Kekosongan kerusi Parlimen Sungai Besar dan Parlimen Kuala Kangsar masing-masing berikutan penyandangnya Datuk Noriah Kasnon yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, pada 5 Mei.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar diadakan serentak pada 18 Jun iaitu 13 hari selepas penamaan calon pada 5 Jun.

Sivamurugan berkata walaupun calon PAS Mohamed Salleh M.Hussin ditewaskan Allahyarham Noriah dengan majoriti 399 undi, namun berdasarkan senario ketika ini, PAS dilihat tetap tidak berpeluang menang di kawasan itu.

Kawasan Parlimen Sungai Besar mempunyai 42,655 pemilih berdaftar dengan pengundi biasa (42,365), pengundi awal (286) dan pemilih tidak hadir luar negara (empat).

Parlimen Kuala Kangsar pula mempunyai 32,949 pemilih berdaftar melibatkan pengundi biasa (32,632), pengundi awal (312) dan pemilih tidak hadir luar negara (lima).

Senada dengan Sivamurugan, penganalisis politik Prof Madya Dr Azmi Hassan berkata dilema dalam pakatan pembangkang itu memberi kelebihan besar kepada BN.

"Akibat perselisihan parti-parti pembangkang, ia akan membawa kesan kepada rakyat di mana rakyat akan hilang kepercayaan terhadap mereka," katanya.

Penganalisis Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) Shukri Shuaib berkata apa yang sedang dihadapi pakatan pembangkang itu merupakan natijah kepada ketidaksepakatan mereka.

Beliau berkata PAS kini menunjukkan protes mereka terhadap PKR.

"Jelas menunjukkan PKR tidak jujur ketika bersama PAS dalam Pakatan Rakyat. PAS menjadi 'mangsa' kerana agenda perjuangannya untuk melaksanakan hukum hudud ditentang DAP dan PKR," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Blog Archive