Thursday, December 25, 2014

'Krisis MIC Sepatutnya Menjadi Pembuka Mata Untuk Palanivel - Penganalisis', Bernama, 25 Disember 2014

 



Oleh S. Chandravathani

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Beberapa penganalisis politik terkenal menyifatkan bantahan yang diadakan anggota MIC di luar dan di dalam premis ibu pejabat parti itu di sini minggu lepas sebagai isyarat yang sebenarnya telah lama wujud agar presidennya Datuk Seri G. Palanivel mengukuhkan parti itu serta mengubah gaya kepimpinannya.

Kata mereka bantahan itu merupakan kemuncak kepada tuntutan agar Palanivel memperkemaskan dan memperkasakan kembali MIC jika beliau tidak mahu terus didesak supaya berundur oleh para pemimpin dan anggota parti itu.

Mereka berpendapat Palanivel bukan sahaja perlu memimpin sebagai seorang pemimpin yang kuat, malah perlu dilihat menjalankan tanggungjawabnya sebagai pemimpin kerana banyak anggota parti itu serta anggota masyarakat melihat beliau sebagai "membisu" dan "tidak kelihatan" apabila MIC berdepan dengan isu penting.

Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia (USM) berkata pergaduhan antara puak yang bertelagah minggu lepas sepatutnya menjadi "isyarat yang mencemaskan" bagi Palanivel supaya segera bertindak untuk mengembalikan kehebatan dan imej parti itu sebagai parti kaum India terbesar dan parti komponen utama Barisan Nasional (BN).

"Kini, presiden parti itu tidak mempunyai pilihan lagi, selain menunjukkan potensi dan kemampuannya untuk bersikap lebih tegas dalam menyatukan dan membawa anggota serta mereka yang berada di atas pagar supaya kembali bersatu bagi memastikan MIC terus relevan bagi mayarakat India," katanya apabila dihubungi Bernama.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kekecohan yang berlaku di ibu pejabat MIC apabila beratus-ratus penyokong memekik kata-kata kurang sopan, saling menyelar, menolak dan mengherdik satu sama lain ketika berlangsungnya mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) yang dipertikaikan.

Mesyuarat itu diadakan untuk membuat keputusan tentang arahan Pendaftar Pertubuhan (ROS) agar pemilihan semula diadakan dalam tempoh 90 hari.

ROS membatalkan pemilihan tiga naib presiden dan 23 anggota CWC yang diadakan pada perhimpunan agung MIC di Melaka pada November.

Dalam suratnya bertarikh 5 Dis, ROS mencadangkan agar pemilihan bagi jawatan berkenaan diadakan semula dalam tempoh 90 hari berikutan terdapat dakwaan bahawa wujud salah laku dan perbuatan yang melanggar perlembagaan parti serta Akta Pertubuhan.

ROS juga menasihati MIC supaya tidak mengadakan mesyuarat agung tahunannya selagi perkara itu belum diselesaikan.

Kali terakhir ibu pejabat MIC dibanjiri pengunjung ialah ketika presiden parti ketika itu, Datuk Seri S. Samy Vellu berundur pada Disember 2010 setelah menerajui MIC selama 31 tahun.

Dr Sivamurugan berkata walaupun ada kalanya, gaya kepimpinan Palanivel menjengkelkan anggota dan pemimpin akar umbi MIC, namun beliau mampu mengatasi kelemahannya.

"Jadikanlah bantahan itu sebagai pengajaran untuk terus melangkah ke hadapan bagi menghadapi cabaran lebih besar pada masa akan datang dan membantu Barisan Nasional mengekalkan kuasa. Buatlah bedah siasat dan penilaian terperinci serta carilah jalan untuk mengatasi semua masalah dengan cekap," katanya.

Sementara itu, Prof Madya Dr Ahmad Martadha B Mohamed dari Universiti Utara Malaysia (UUM) pula berkata lazimnya, budaya politik di Malaysia memberi penekanan terhadap keperluan mempunyai pemimpin yang kuat, yang mampu membawa parti masing-masing ke tahap lebih gemilang serta berani menghadapi cabaran lebih besar.

"Dalam hal ini, Palanivel dilihat sebagai pemimpin yang lemah berbanding pemimpin sebelum beliau kerana beliau kelihatan kurang lantang dan lebih gemar menunggu sebelum membuat keputusan tentang sesuatu isu kritikal," kata pensyarah bidang Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa UUM itu.

Sikap suka membisu serta "tunggu dan lihat" ini mendorong anggota parti melihat beliau sebagai pemimpin yang tidak berkemampuan, lemah serta tidak berpendirian tegas dan oleh itu, mereka meminta beliau berundur, katanya.

Dr Ahmad Martadha berkata dalam menghadapi keadaan sekarang, penubuhan sebuah jawatankuasa bebas mungkin merupakan pilihan terbaik untuk parti itu memandangkan tidak kelihatan dengan jelas wujudnya sebarang penyelesaian untuk mengatasi konflik yang melanda MIC.

"Sikap suka mencari kesalahan dan berbalah akan berakhir jika terdapat usaha untuk menyelesaikan isu sebenar yang menghantui parti itu. Jadi, satu pelan jelas perlu disediakan untuk menyelesaikan krisis yang melanda MIC ketika ini dan ia perlu melibatkan pihak berkecuali sebagai orang tengah antara kumpulan yang bertelagah dalam parti itu," katanya.

Sementara itu, Prof Madya Dr Sarjit Singh Gill dari Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata Palanivel kelihatan terus membisu apabila berdepan dengan isu masyarakat atau perkara berkaitan MIC.

"Kini, sudah empat tahun Palanivel mengambil alih tugas menerajui parti itu daripada Datuk Seri S. Samy Vellu. Tetapi, apa yang dapat kita lihat dengan ketara ialah timbulnya pelbagai isu dan inilah yang menyebabkan pemimpin dan anggota parti menyuarakan perasaan tidak puas hati mereka.

"Oleh itu, MIC memerlukan seorang pemimpin yang dinamik, yang mampu menangani cabaran serta berupaya memperkasakan kembali parti itu dengan segera agar ia terus relevan dengan landskap politik tempatan," katanya.

Berkongsi sentimen serupa, penganalisis politik Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata presiden MIC itu perlu bangun dengan segera untuk menunjukkan bahawa beliau mempunyai kuasa terhadap parti dan memimpinnya ke arah yang betul apabila menangani masalah berkaitan masyarakat India.

"Palanivel tidak mempunyai pilihan selain menyelesaikan krisis yang berlaku melalui langkah penjenamaan semula. Sesetengah kelompok dalam masyarakat India menolak MIC kerana menganggap pemimpin parti itu sebagai terlalu tamakkan kuasa," kata dekan Sekolah Pengajian Antarabangsa UUM itu.

Dr Mohd Azizuddin berkata anggota MIC pula perlulah berhenti daripada berbalah, sebaliknya bersatu untuk menyelesaikan masalah pemilihan semula jawatan berkenaan dan menghapuskan perbezaan pendapat antara mereka bagi mencapai kata sepakat.

-- BERNAMA

No comments:

Blog Archive