Monday, September 02, 2013

'Hasrat Palanivel Terus Jadi Presiden Selepas 2016 Dapat Reaksi Berbelah Bagi', Bernama, 1 September 2013

KUALA LUMPUR, 1 Sept (Bernama) -- Hasrat Datuk Seri G. Palanivel untuk terus memegang jawatan presiden MIC selepas tamat tempoh penggal pada 2016 telah menerima reaksi berbelah bagi daripada pemimpin dan penganalisis politik.

Pengarah Strategik MIC S. Vell Paari berkata sekiranya terus mendapatkan mandat besar daripada pengerusi cawangan dan ahli, maka beliau perlu memegang amanah itu sebagai presiden bagi memperkasakan parti itu.

"Sekiranya majoriti pengerusi cawangan mahu beliau meneruskan kepimpinan, maka beliau mempunyai hak untuk berbuat demikian demi parti. Palanivel perlu mematuhi kehendak pengerusi cawangan kerana telah diberi mandat," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari Ahad.

Memetik contoh, Vell Paari berkata bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan peletakan jawatan pada Perhimpunan Agung Umno pada 2002.

"Pada 2002, Tun Dr Mahathir dipujuk untuk meneruskan kepimpinannya selama 18 bulan dalam proses peralihan kuasa yang berakhir pada Oktober 2003. Ini adalah situasi sama dengan Palanivel," katanya.

Terdahulu, selepas dilantik Presiden MIC kelapan tanpa bertanding, Palanivel mengumumkan bahawa beliau mungkin memegang jawatan itu selepas tempoh penggal berakhir pada 2016, selepas menerima 96 peratus sokongan pengerusi cawangan pada hari penamaan calon presiden hari ini.

Berkongsi pandangan sama, penganalisis politik Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata Palanivel boleh berbuat demikian sekiranya mempunyai mandat dan sokongan parti.

"Beliau (Palanivel) boleh berhujah bahawa parti itu mahu beliau kekal. Selain itu, beliau tidak mempunyai alasan kukuh kerana telah berjanji dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk berundur pada 2016," kata dekan Sekolah Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM).

Mohd Azizuddin berkata sekiranya mana-mana pemimpin mahu menggantikannya maka mereka perlu mencabar beliau kerana ini adalah sebahagian daripada proses demokrasi dan dibenarkan mengikut perlembagaan MIC.

"Ini tidak akan mengugat Barisan Nasional (BN) kerana BN terdiri daripada gabungan 13 parti. Jika satu ada masalah, BN masih mempunyai 12 parti untuk menyokong kecuali wujud pertikaian sesama mereka. Hari ini, BN masih kuat," katanya. Timbalan dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata butiran kompromi antara Palanivel dan timbalannya Datuk Seri Dr S. Subramaniam tidak didedahkan kepada umum.

"Kita tidak tahu butiran perjanjian dan sebahagian besarnya bergantung pada semua pihak yang terbabit dalam pemilihan presiden. Sekiranya tahu butiran itu, maka baru sahaja boleh menyatakan sama ada hasrat Palanivel itu bercanggah dengan perjanjian atau menjejas pihak tertentu atau BN," katanya.

Bagaimanapun, naib presiden MCA Datuk Donald Lim Siang Chai berpendapat sebaliknya dengan berkata Palanivel perlu berpegang kepada janjinya untuk berundur pada 2016.

"Tiada siapa boleh menghalang beliau (Palanivel) daripada bertanding jawatan utama parti itu sekali lagi. Tetapi beliau perlu menunaikan janjinya atau rakyat akan hilang kepercayaan terhadapnya," katanya.

Sambil mengucapkan tahniah kepada Palanivel atas pemilihannya, Lim berkata hasratnya itu tidak memberi kesan kepada BN secara keseluruhan kerana isu pemilihan presiden semata-mata diputuskan oleh ahli-ahli parti. Ketua Penerangan Parti Progesif Penduduk (PPP) Datuk A. Chandrakumanan berkata orang ramai tidak perlu terburu-buru membuat andaian terhadap kenyataan Palanivel itu.

"Walaupun telah menerima sokongan padu, Palanivel perlu tegas dan mempunyai prinsip sendiri dengan keputusannya untuk berundur pada 2016 dan jika tidak masyarakat itu tidak akan mempercayainya sebagai pemimpin," katanya.

Chandrakumanan menegaskan keputusan mengejut itu tidak akan mengugat BN kerana isu itu adalah soal dalaman parti.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula berharap Palanivel akan berpegang kepada janjinya untuk melepaskan jawatan presiden MIC selepas satu penggal.

Beliau berkata walaupun Palanivel menang tanpa bertanding dengan sokongan padu, adalah lebih elok jika beliau mengotakan janjinya.

"Pencalonan tinggi yang beliau perolehi adalah hasil formula kompromi yang dicapai...eloklah beliau tunaikan janji-janji beliau untuk melepaskan jawatannya kepada Dr Subramaniam selepas ini,", katanya.

Beliau berkata demikan ketika ditemui di rumah terbuka Aidilfitri Setiausaha Kerja Umno Datuk AB Rauf Yusoh di sini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut mengucapkan tahniah kepada Palanivel atas kemenangannya dan berharap kaedah berkompromi antara pemimpin parti itu dapat diteruskan.

"Ini ialah satu perpaduan yang harus mereka caknakan bagi mengekalkan kestabilan MIC," katanya.

-- BERNAMA  

No comments:

Blog Archive