SHAH ALAM - Kerusi panas Menteri Besar Selangor perlu diisi dengan ciri-ciri pemimpin yang perwatakan seimbang antara politik dan mesra rakyat.
Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian berpandangan Adun Sungai Tua, Amirudin Shari mahupun Adun Ijok, Dr Idris Ahmad masing-masing berkelayakan.
Namun menurutnya, yang perlu diberikan penekanan adalah mendapat persetujuan semua pihak tanpa mengabaikan hubungan dengan pihak istana.

“Calon Menteri Besar mestilah mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, kepimpinan parti dan memenuhi aspirasi negeri.
“Kerana kriteria diatas adalah yang terdapat pada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika menerajui Selangor selepas Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim,” katanya.
Beliau tidak menolak pengaruh dalam kepimpinan parti mendominasi jawatan tersebut.
“Persoalan calon yang mahu diangkat adakah dipilih oleh Azmin sendiri atau kepimpinan parti bergantung pada pengaruhnya memainkan peranan dalam parti.
“Dr Idris barangkali akan diberikan keutamaan kerana pengalamannya dalam parti namun Amirudin lebih awal menjadi pilihan dalam pentadbiran jadi persetujuan antara istana dan parti perlu seiring,” katanya.
Sementara itu, Penganalisis Politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Azizuddin Mohd Sani berkata, calon yang paling penting ialah boleh memimpin dan mendapat keyakinan rakyat serta istana dilihat paling sesuai untuk mentadbir Selangor.
“Kalau nak MB muda dan ada pengalaman pentadbiran Amirudin sesuai. Kalau nak cari seorang yang senior yang juga berpengalaman politik dan dihormati oleh pemimpin dan rakyat, Dr Idris juga sesuai.
“Kedua-dua calon ada kekuatan masing-masing namun pada pandangan saya Amirudin ada kelebihan setakat ini kerana pengalaman dalam pentadbiran dan Exco,” katanya.
Tambahnya, prestasi Amirudin dibuktikan selepas Azmin menyambung khidmat beliau sebagai Exco.
“Saya lebih tertarik jawatan itu diberikan kepada orang muda tapi kalau tidak mampu, boleh diberikan kepada yang lebih senior.
“Prestasi beliau tidak boleh dinilai sewaktu mengetuai Persatuan Bola Sepak Selangor kerana semua negeri menghadapi masalah pengurusan sama,” katanya.
Katanya, meskipun Selangor dalam kedudukan ekonomi kukuh dan stabil namun Menteri Besar masih perlu memainkan peranan penting.
“Sangat penting jawatan MB ini. Kalau salah pilih mungkin keadaan Selangor akan teruk. Tak semestinya seperti Azmin tetapi mampu setanding dengan Azmin.
“Beliau haruslah dilihat mampu dari segi kepimpinan untuk memberi arahan yang boleh diikuti semua pihak lantas memakmurkan rakyat,” katanya.
Dr Idris adalah Adun Ijok selama dua penggal dikatakan calon tunggal dicadangkan Pakatan Harapan (Harapan) untuk mengisi jawatan Menteri Besar Selangor.
Dikatakan beliau mempunyai rekod terbaik melayakkannya menggantikan Azmin.
Beliau juga dikatakan mendapat sokongan dari parti perikatan lain termasuk Bersatu, Amanah dan DAP.
Namanya tidak menonjol berbanding Amirudin dan calon lain termasuk Adun Seri Setia, Dr Shaharuddin Badaruddin.
Amirudin sebelum ini pernah menyatakan kesediaan beliau jika namanya diangkat mengisi jawatan itu berdasarkan arahan pucuk pimpinan yang tidak boleh dielakkan dan perlu menjalankan amanah itu penuh tanggung jawab.
19 Jun ini Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah perkenan mengadakan istiadat pelantikan dan angkat sumpah Menteri Besar Selangor yang baharu.