Saturday, May 30, 2015

'Proses Integrasi Dan Perpaduan Nasional Kian Mencabar, Penganalisis', Bernama, 27 Mei 2015

 



Oleh Erda Khursyiah Basir

KUALA LUMPUR, (Bernama) -- Di mana-mana sahaja sama ada di rumah, restoran, pasar raya malah semasa menaiki pengangkutan awam, senario masa kini menyaksikan manusia sibuk dengan gajet masing-masing khususnya telefon pintar.

Ramai yang tidak keruan jika tertinggal telefon bimbit, seakan kehilangan sesuatu. Internet di hujung jari menguasai setiap lapisan masyarakat, apatah lagi di kalangan generasi muda, menjadikan gajet mesti berada dalam genggaman.

Tatkala gajet ini memudahkan komunikasi, ia juga sebenarnya menjarakkan manusia kerana mereka lebih senang berbicara menerusi gajet, tanpa perlu bertentang mata dan berbicara hati ke hati.

Pensyarah kanan Pusat Pengajian Antarabangsa, Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia Dr Mohd Ainuddin Iskandar Lee Abdullah berkata senario ini sebenarnya memberi impak kepada perpaduan negara.

Proses integrasi dan perpaduan nasional menjadi kian mencabar ekoran majoriti generasi muda lebih gemar menggunakan masa mereka di alam maya terutama media sosial, berbanding meningkatkan jalinan aktiviti secara realiti dalam masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

"Gen X dan Gen Y lebih banyak berdampingan dengan gajet dan lebih mengutamakan perhubungan secara maya terutama dengan rakan yang kebanyakannya memang sudah dikenali di media sosial seperti Twitter dan Facebook.

"Mereka lupa untuk keluar mencari kawan baharu dan berhadapan realiti kehidupan khususnya melibatkan pelbagai latar belakang masyarakat setempat.

"Untuk itu, sekolah, kolej dan institusi pengajian tinggi (IPT) merupakan medium paling ideal dalam usaha menyemai kembali agenda perpaduan di kalangan generasi muda pada hari ini," katanya kepada Bernama.

Mohd Ainuddin Iskandar berkata melalui pendedahan awal oleh ibu bapa berhubung konsep perpaduan dan kemudian diteruskan sehingga ke peringkat sekolah dan IPT, ia secara tidak langsung berupaya memecah tembok perkauman di kalangan generasi muda terutama apabila mereka melangkah ke alam pekerjaan.

IKUT TREND SEMASA

Selain meletakkan gajet di tepi buat seketika dan meluangkan masa untuk bergaul, apakah langkah lain bagi menghidupkan dunia sosial supaya masyarakat secara realitinya benar-benar bersatu?

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan di Universiti Sains Malaysia Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berpendapat generasi muda harus diberi lebih banyak peluang agar mereka berasa turut 'menyumbang dan hadir' dalam proses pembinaan negara.

Selain perlu mengembalikan roh atau aktiviti gotong-royong di kalangan belia, beliau berpendapat agenda perpaduan sebetulnya lebih mudah untuk diperluaskan melalui rangkaian media sosial yang menjadi 'kemestian' bagi golongan itu pada hari ini.

"Melahirkan lebih banyak ikon dalam pelbagai bidang di kalangan generasi muda juga adalah suatu kelebihan kerana generasi muda selalu melihat bahawa mereka lebih memahami dengan baik sesuatu bidang terutama yang diminati contohnya seperti media sosial, sukan, hiburan dan pemimpin belia," katanya.

PERPADUAN TIDAK WUJUD SENDIRI

Perpaduan dalam konteks negara yang rencam memerlukan iltizam dan keupayaan yang tinggi untuk mengurusnya.

Menurut Sivamurugam, rakyat tidak boleh terlalu selesa sehingga menganggap perpaduan itu wujud dengan sendiri kerana ia merupakan tanggungjawab bersama termasuk keluarga, sekolah, universiti, agensi pekerjaan, rakan sebaya, media dan pemimpin negara.

Berkongsi pendapat sama, Mohd Ainuddin Iskandar berkata keadaan semasa hari ini menuntut lebih banyak maklumat berkaitan kepentingan perpaduan atau kesepaduan sosial yang perlu dipaparkan di media cetak dan elektronik termasuk media sosial kerana kaedah itu mampu membawa impak positif dalam usaha memupuk kesefahaman masyarakat.

Katanya aspek mencari nilai kesefahaman dan perkongsian antara kaum perlu disemai dan dipupuk secara berterusan agar kesepaduan sosial yang dibina bakal menzahirkan erti perpaduan nasional sebenar.

"Soal mencapai integrasi nasional merupakan satu proses pembinaan negara bangsa, dan ia tidak dibina dalam masa yang singkat. Perpaduan kaum juga tidak wujud secara sendiri tanpa ada kesefahaman atau akomodasi yang baik antara pelbagai kaum, ia perlu dipupuk dan disemai sejak awal.

"Proses memupuk perpaduan berkembang kepada asimilasi antara kaum dalam bentuk saling menghormati antara satu sama lain dalam konteks kepercayaan dan adat resam," katanya.

ELAK SENTIMEN PERKAUMAN

Sentimen perkauman yang kadang kala sengaja dibangkitkan segelintir pihak mesti dielak sama sekali.

Kepekaan terhadap hubungan antara kaum amat penting kerana ia dapat menghindarkan isu berbaur perkauman walaupun cuma bersifat remeh dan picisan, kata Mohd Ainuddin Iskandar.

Pensyarah bidang hubungan etnik ini berkata kecenderungan untuk menimbulkan sentimen perkauman perlu dielak selain sensitiviti kaum lain perlu difahami dan dijaga kerana ia adalah prasyarat kepada perpaduan.

Selain mengelakkan isu-isu yang melangkaui batas kaum, teguran juga perlu dilakukan dengan berhemah, di samping memastikan kesantunan sebagai masyarakat timur sentiasa dijaga oleh semua lapisan masyarakat.

"Namun begitu, keadaan sekarang jauh berbeza berikutan ledakan informasi secara viral menerusi Internet begitu pantas disampaikan tanpa tapisan.

"Fenomena ini amat merbahaya kerana 'spinning' sesebuah isu tanpa kawalan boleh menyebabkan masyarakat berada dalam keadaan 'tidak tenteram', huru-hara termasuk menggugat keharmonian antara kaum," katanya.

Percaya bahawa rakyat perlu sentiasa diberi kefahaman tentang sensitiviti kaum, aspek literasi perlembagaan dan tadbir urus negara juga tidak terkecuali perlu dititikberatkan atas alasan masyarakat yang memahami perlembagaan dan sistem pentadbiran, secara automatik akan menjadi rakyat yang lebih bertanggungjawab.

Tidak menolak perkara itu, Sivamurugan berkata rakyat perlu kembali kepada asas bagaimana masyarakat berbilang bangsa dan agama dapat hidup bersatupadu di negara ini.

"Semangat perkongsian, nilai kepunyaan, konsep kesederhanaan atau 'middle path' (wasatiyyah) serta tidak radikal yang bertunjangkan kepada nilai kemanusiaan perlu terus dimantapkan," katanya.

SEPAKAT MISI KEMANUSIAAN

Apakah kesepakatan dalam misi menghulur bantuan seperti isu pelarian Rohingya dan gempa bumi di Nepal baru-baru ini merupakan antara 'penanda aras' bahawa rakyat Malaysia sememangnya bersatu padu?

Sivamurugan berpendapat ia adalah satu proses ke arah kebersatuan secara jitu.

Ujar beliau, sekiranya semangat seperti itu boleh dikembangkan berasaskan prinsip kemanusiaan secara berterusan dan tidak bermusim, maka rakyat boleh terus melakukan penambahbaikan ke atas usaha mengurus perpaduan dan kemuafakatan dalam negara.

Mohd Ainuddin Iskandar pula berpandangan isu bantuan melangkaui erti kemanusiaan.

Saluran bantuan yang diterjemahkan oleh masyarakat pelbagai kaum di negara ini menunjukkan rakyat negara ini adalah masyarakat yang prihatin tanpa mengambil kira ideologi dan bangsa.

"Malaysia memang dikenali sebagai sebuah negara yang prihatin terhadap isu-isu kemanusiaan global selain manifestasi rakyat pelbagai kaum di negara ini menghulurkan bantuan kepada dunia secara tidak langsung membuktikan bahawa masyarakat majmuk di bumi Malaysia hidup bersepakat dan bersatu padu," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Blog Archive