Friday, January 23, 2015

'Fokus Berita: Pemantauan Ketat Dan Berterusan Bantu Perkukuh Penguatkuasaan Akta Hasutan 1948', Bernama, 23 Januari 2015

 



KUALA LUMPUR, Jan 23 (Bernama) -- Akhir-akhir ini ada pihak tertentu cenderung menjadikan konsep dan hak kebebasan bersuara sebagai satu hak mutlak, tanpa memikirkan impak kebebasan bersuara itu boleh menimbulkan konflik perkauman dan mencetuskan ketegangan.

Ada sahaja kenyataan berbaur perkauman dan penghinaan agama dilontarkan sehingga mencetuskan keresahan di kalangan rakyat Malaysia, yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

Bagi memastikan keamanan dan keharmonian Malaysia dan kestabilan negara, kerajaan memutuskan bukan sahaja untuk mengekalkan Akta Hasutan 1948 malah menambah baik demi melindungi kepentingan dan kesejahteraan seluruh rakyat.

Namun begitu, masih timbul juga kenyataan berbaur hasutan yang meresahkan rakyat. Apakah undang-undang sedia ada termasuk Akta Hasutan 1948 masih kurang berkesan untuk menangani sebarang bentuk konflik yang timbul di negara ini?

Mengupas hal ini, seorang penganalisis politik berpendapat pemantauan lebih ketat, berterusan dan tidak bermusim perlu dilakukan pihak berkuasa dalam usaha memperkasa penguatkuasaan Akta Hasutan 1948, sekali gus menangani sebarang bentuk konflik yang timbul.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan di Universiti Sains Malaysia, Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata ini penting kerana terdapat segelintir individu pada masa ini yang sengaja menjadikan sesuatu isu sehingga menimbulkan konflik perkauman dan mengganggu-gugat nilai keagamaan dan hubungan etnik, demi meraih populariti.

"Dalam usaha memperkasa penguatkuasaan akta ini, kita memerlukan koordinasi dan kerjasama pelbagai pihak terutama pihak berwajib untuk memastikan individu yang bertindak melanggar norma keterbatasan dan keselamatan awam negara dikenakan tindakan segera dan dikenakan hukuman berat.

"Hukuman yang lebih ketat dan disertai dengan pendakwaan telus secara langsung akan membuktikan tindakan pihak berwajib mengenakan hukuman itu wajar, sekali gus memberi keyakinan masyarakat awam terhadap pihak berwajib," katanya kepada Bernama.

Mempunyai pendapat sama, Dekan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia Prof Madya Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata dengan mengenakan hukuman yang lebih ketat terhadap individu terlibat, ia mampu memberi peringatan kepada anggota masyarakat agar tidak bertindak sembarangan.

Beliau berkata tindakan tegas itu perlu bagi membuktikan 'kekuatan' akta dan undang-undang melalui hukuman terhadap individu, terutama mereka yang cuba menimbulkan ketegangan kaum, mempersoalkan isu berkaitan agama Islam, hak istimewa orang Melayu serta kedudukan orang Melayu dalam perlembagaan.

"Sekiranya kerajaan serius menangani perkara ini dengan mengenakan hukuman yang lebih berat, ia akan membuatkan masyarakat berfikir dua kali sebelum bertindak atau mengeluarkan sebarang kenyataan," katanya.

Mengenai pandangan segelintir individu yang menyifatkan setiap rakyat mempunyai hak dan kebebasan bersuara, Ahmad Martadha berkata kebebasan bersuara wajar mempunyai batasan tertentu.

"Kebebasan bersuara mesti ada had... seperti di Amerika Syarikat dan Eropah, sekiranya ada individu yang mengkritik Yahudi (Jews), mereka akan diambil tindakan sebagai 'anti-semitism'.

"'Anti-semitism' ini maksudnya golongan yang mengkritik dan menentang Jews, mereka akan dipulau oleh masyarakat. Bagi mereka yang cuba mewujudkan unsur-unsur keganasan, mereka akan didakwa cuba menimbulkan rusuhan," katanya, sambil menambah kata bahawa sikap hormat-menghormati antara agama dan bangsa perlu sentiasa disemai demi keharmonian bersama.

Apakah pula peranan masyarakat dalam memperkasa Akta Hasutan 1948?

Sivamurugan berkata rakyat secara keseluruhannya perlu terlibat mengambil tindakan secara kolektif dalam memerangi persepsi bahawa akta tersebut seolah-olah tidak digunakan dengan berkesan.

Katanya dengan penglibatan seluruh anggota masyarakat ia mampu memperbaiki kelonggaran dan kelompongan yang terdapat pada akta berkenaan selain mengelakkan sifat menuding jari, menyalahkan pihak tertentu sahaja.

"Masyarakat sendiri perlu ambil inisiatif kerana pada hari ini nilai ektremism dan radikalisme semakin menular. Mereka perlu tampil melaporkan kepada pihak berkuasa kerana kita semua mempunyai tanggungjawab dan perlu menghargai kemakmuran dan keamanan yang terbina selama ini.

"Di samping itu, kalangan majoriti senyap harus bertindak. Golongan ektremis ini kebanyakannya melakukan tindakan tersebut kerana mereka tahu golongan majoriti ini tidak mahu bersuara," katanya.

Sivamurugan turut berpendapat peranan kumpulan majoriti senyap akan membantu memperkukuh penguatkuasaan Akta Hasutan 1948 termasuk tidak membiarkan mereka yang terlibat terlepas dan bebas begitu sahaja.

-- BERNAMA

No comments:

Blog Archive