Monday, September 03, 2012

'GO-KL City Tingkat Taraf Hidup', Utusan Malaysia, 1 September 2012

KUALA LUMPUR 31 Ogos - Idea memperkenalkan GO-KL City secara percuma kepada warga kota yang dicetuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendapat maklum balas positif daripada rakyat negara ini.
Penganalisis Politik, Prof. Madya Dr. Sivamurugan Pandian berkata, usaha yang ditunjukkan oleh kerajaan itu untuk meningkatkan taraf hidup rakyat, dilihat sebagai satu pendekatan yang baik selain menunjukkan negara semakin bagus dalam ekonomi.
"Ia amat sesuai dengan dasar kerajaan yang ingin mendahulukan rakyat terutama dalam membantu mereka yang berpendapatan rendah dan juga golongan pelajar," katanya ketika dihubungi oleh Utusan Malaysia hari ini di sini.
Beliau yang juga Pensyarah Sains Sosial di Universiti Sains Malaysia (USM) menambah, walaupun secara kasarnya perbelanjaan kerajaan dilihat akan bertambah dengan kemudahan bas itu, ia mampu meningkatkan taraf hidup rakyat.
"Rakyat yang berpendapatan rendah akan boleh membuat tabungan untuk masa depan mereka apabila pembelanjaan untuk pengangkutan dapat dikurangkan,'' katanya.
Kemudahan bas awam secara percuma itu diperkenalkan di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP) bagi mempertingkatkan kemudahan perkhidmatan awam yang lebih baik kepada orang ramai.

http://www.utusan.com.my/utusan/Kota/20120901/wk_01/GO-KL-City-tingkat-taraf-hidup

No comments:

Blog Archive